One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group telah mengadakan Program Junior Golf Summer Camp 2025 melibatkan 25 peserta sempena musim cuti persekolahan.

PORT DICKSON – One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group telah mengadakan Program Junior Golf Summer Camp 2025 melibatkan 25 peserta sempena musim cuti persekolahan.

Program selama dua hari bermula 10 sehingga 12 Februari itu diadakan di Port Dickson Golf and Country Club, Port Dickson, Negeri Sembilan bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai dunia profesional sukan golf.

Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd Irwan A. Rahman berkata, kerjasama terjalin antara The Weststar Group adalah untuk memperkasa sukan golf peringkat akar umbi.

Mohd Irwan A. Rahman

“Program kali kedua ini menampilkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air yang memiliki pengalaman luas dalam sukan ini termasuk bekas atlet kebangsaan, Shaaban Hussin.

“Para peserta turut mendapat bimbingan istimewa dan tips-tips menarik daripada pemain golf pertama negara yang memenangi emas individu wanita di Sukan SEA Kemboja 2023, Ng Jing Xuen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang merupakan pengarah program tersebut berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Program Junior Golf Summer Camp 2025 di Port Dickson Golf and Country Club, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mohd Irwan menambah, para peserta berusia lapan hingga 16 tahun dianggap bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah untuk negara.

“Melalui program ini, penilaian dilakukan berdasarkan aspek teknikal, fizikal dan mental sekali gus dapat mengenal pasti kelebihan serta kelemahan mereka.

“Ia dapat membantu memperbaiki kemahiran mereka termasuk dari segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental,” ujarnya.

Katanya, maklumat diperoleh tersebut akan diserahkan kepada ibu bapa para peserta sebagai rujukan dan kegunaan pada masa hadapan terutama dalam perjalanan golf mereka serta apabila ingin menyertai kejohanan.

Beliau berharap kerjasama bersama The Weststar Group dapat diteruskan untuk memperluaskan program berkenaan sekali gus memartabatkan industri golf tanah air terutama di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Jing Xuen berkata, program berkenaan merupakan platform terbaik dalam menggilap bakat-bakat muda dalam sukan golf.

“Mereka memiliki sikap positif dalam mempelajari sesuatu yang baharu dan semangat kesukanan tinggi.

“Melalui bimbingan terbaik, tidak mustahil mereka mampu melangkah lebih jauh dalam sukan golf tanah air,” katanya yang menyimpan sasaran melayakkan diri dalam sukan Olimpik 2028. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here