Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berarak semasa menyertai perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 31 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Keberkesanan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS), jumlah anggota tentera wanita, dan status terkini pengenalan Common Bar Course/Common Bar Exam di Malaysia menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengajukan soalan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai cabaran utama dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan DIS di peringkat komuniti, khususnya dalam merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi.

Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) pula meminta Menteri Pertahanan menyatakan jumlah anggota tentera wanita yang masih berkhidmat dalam sektor darat, udara, dan laut serta bilangan anggota yang dihantar ke misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Chiew Choon Man (PH-Miri) meminta Perdana Menteri memberikan status terkini usaha Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang dalam memperkenalkan Common Bar Course/Common Bar Exam di Malaysia serta langkah-langkah yang telah diambil sejak tahun lepas sehingga kini.

Dalam sesi sama, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) meminta Menteri Perpaduan Negara menjelaskan sama ada kementerian mempunyai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Perdana Menteri  menyatakan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya menyambung sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 18 hari hingga 6 Mac ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here