KUALA LUMPUR – Sehingga 31 Januari tahun ini, sebanyak 72,864 unit melibatkan 101 projek perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan telah siap dibina.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, ia merangkumi projek dalam pembinaan dan telah mendapat Perintah Pembangunan di ketiga-tiga WP iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Berdasarkan data tersebut, suka untuk saya maklumkan kita telah berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam menyediakan rumah mampu milik khususnya bagi warga di Wilayah Persekutuan bagi tempoh 10 tahun.
“Ini termasuklah 5,015 unit Residensi Putrajaya terdiri daripada Residensi Madani dan Residensi Wilayah yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 28 Oktober 2024 yang lalu di Putrajaya.
“Residensi Madani dan Residensi Wilayah ini dijangka akan siap dibina pada tahun 2027 hingga 2028,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak – PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha optimis lebih kurang 7,000 unit projek perumahan mampu milik akan dapat dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi.
Sebagai rekod, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sebelum ini menyasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mulai 2018 hingga 2028 menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi Madani.
Sementara itu, menurut beliau, sehingga 31 Januari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima sebanyak 28 permohonan daripada pihak pemaju melibatkan pembangunan semula perumahan lama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Menerusi pembangunan semula ini, kerajaan bukan sahaja menyediakan rumah gantian kepada penduduk yang terlibat tetapi ini juga akan melibatkan tambahan kepada pembangunan rumah mampu milik sedia ada di Wilayah Persekutuan,” tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan sebanyak 139 tapak dengan keluasan 1228.96 hektar (3,036.81 ekar) telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk pembangunan semula.
Ia merupakan perancangan itu di Bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023 dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).- MalaysiaGazette