KUALA LUMPUR – SimplySiti iaitu jenama kecantikan terkemuka Malaysia yang diasaskan oleh penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini kembali lagi dengan kempen amal sempena Ramadan tahun ini.
Dikenali Kempen Amal Simply Sejuta Kasih, Siti Nurhaliza yang juga Biduanita Negara berkata, tujuan kempen itu bagi menggalakkan pembelian sambil beramal dalam kalangan pengguna untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik.
“Bagi setiap produk Simply yang dibeli melalui semua platform atas talian, RM1 akan didermakan kepada Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan itu.
“Dengan slogan Sejuta Kasih, Sejuta Harapan, kempen ini mencerminkan komitmen SimplySiti dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat sambil terus menawarkan produk kecantikan berkualiti tinggi,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF12022025_PELANCARAN-PRODUK-SIMPLYSITI-13.jpeg)
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rangkaian produk baharu SimplySiti serta memperkenalkan Kempen Amal SimplySiti di sini hari ini.
Pada majlis itu, turut diperkenalkan produk baharu daripada BeauSiti by SimplySiti iaitu Oat Me Up!, minuman berkhasiat yang direka khas untuk menyokong gaya hidup sihat sepanjang Ramadan ini dan membuatkan pengguna kenyang lebih lama.
Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza memberitahu, sebelum ini kempen tersebut difokuskan kepada kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung dengan kerjasama Institut Jantung Negara dan pihaknya berjaya membantu lebih 10 kanak-kanak.
Namun katanya, tahun ini kempen amal iu berbeza kerana Yayasan Nurjiwa bukan sahaja aktif membantu masyarakat Malaysia tetapi juga kini umat Islam di Gaza, Palestin.
“Apa usaha yang dilakukan saya dan SimplySiti diharapkan mendapat keberkatan sepanjang Ramadan untuk membantu mereka memerlukan.
“Memandangkan kempen ini sepanjang Ramadan, kita tidak dapat nilai yang luar biasa tetapi bagi saya keinginan pengguna itu untuk sama membantu. Kalau sebelum ini bersama IJN, kita dapat sumbangan RM500,000, kita harap akan dapat lebih banyak lagi dan ia berterusan,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF12022025_PELANCARAN-PRODUK-SIMPLYSITI-19.jpeg)
Sementara itu, Yayasan Nurjiwa ialah sebuah pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2006 oleh Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dengan matlamat untuk membantu insan-insan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.
Tahun lalu, yayasan itu berjaya membantu lebih 10,000 masyarakat Palestin setiap hari hasil sumbangan orang ramai yang menghulurkan sumbangan hampir RM1 juta.
Yayasan Nurjiwa juga telah membangunkan sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang sudah beroperasi sejak 5 Oktober 2021 lalu. – MalaysiaGazette