KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara buat masa ini tidak mempunyai sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.
Bagaimanapun, menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan.
Ujar beliau, segala pelaksanaan program dan inisiatif yang dijalankan itu adalah berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara antaranya mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Objektif lain, jelasnya, adalah membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
“Bagi tahun 2025, Kementerian Perpaduan Negara telah mengangkat konsep Negara Bangsa dan tema Harmoni dalam Kepelbagaian sebagai fokus utama.
“Hala tuju tahun ini direncanakan melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.
“Inisiatif Harmoni MADANI diperkenalkan bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sekali gus memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung sama ada Kementerian Perpaduan Negara mempunyai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Halimah berkenaan sejauh mana fungsi Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) dalam menanggapi isu melibatkan polemik agama dan kaum, Aaron (GPS-Kanowit) berkata, JPIP telah menguruskan dan menyelesaikan kira-kira 10 isu sensitif yang berbangkit dalam kalangan masyarakat sejak awal tahun ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Aaron berkata, JPIP itu ditubuhkan dengan dianggotai pelbagai pihak berkepentingan antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); beberapa kementerian selain agensi berkaitan agama seperti Jabata Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Jawatankuasa ini baru mengadakan mesyuarat pertama tahun ini dan melihat kesemua isu sensitif dari awal tahun ini hingga sekarang, ada lebih 10 isu baharu yang timbul baru-baru ini yang telah dibincangkan untuk diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette