Gambar hiasan

Oleh: Mohd Hazmi Mohd Rusli

SISTEM pendidikan tinggi Malaysia telah mengharungi pelbagai perkembangan sejak kemerdekaan. Kini, Malaysia memiliki sistem pendidikan tinggi antara yang terbaik di Asia dan yang kedua terbaik di Asia Tenggara. Namun, disebalik kedudukan berprestij ini, adakah benar terdapat ahli akademik, terutamanya para profesor, yang miskin penerbitan?

Tidak mudah menjadi ahli akademik – bermula dengan keperluan mendapatkan PhD dan kemudiannya mengekalkan momentum pembelajaran, penyelidikan, perundingan, penerbitan, pembentangan kertas kerja di dalam dan luar negara serta berbakti kepada masyarakat secara umumnya. Terdapat beberapa ahli akademik yang kecundang di peringkat PhD menyebabkan bebanan hutang yang tidak tertanggung sekiranya menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Ini bermakna, sejak mula menceburkan diri dalam kerjaya, seseorang ahli akademik itu perlu mengambil risiko dan bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Sekiranya berjaya, diserap masuk sebagai ahli akademik, dan sekiranya tidak, berhutanglah seumur hidup jika tak mampu bayar semula dana yang telah dibelanjakan untuk pengajian PhD, terutamanya di luar negara.

Majoriti yang dikirim untuk belajar berjaya melengkapkan pengajian dalam waktu yang ditetapkan. Setelah bergabung dengan mana-mana universiti sebagai ahli akademik, perjalanan kerjaya akademik pun bermula dan tidak seperti kerjaya lain, kerjaya dalam bidang akademik adalah fleksibel tetapi mencabar. Ada yang memilih untuk bersantai, ada yang mengejar cita-cita untuk cemerlang dalam penerbitan dan penyelidikan serta ada juga yang terlibat dalam pentadbiran.

Kenaikan pangkat pula ditentukan oleh syarat-syarat yang telah ditentukan seperti jam pengajaran, markah penilaian setiap tahun, penerbitan, perundingan, penyelidikan, sanjungan antarabangsa dan penyeliaan pelajar pasca siswazah. Dari sudut penerbitan, syarat-syarat yang diletakkan adalah sangat tinggi untuk kenaikan pangkat ke Profesor Madya, apatah lagi ke peringkat Profesor. Akan tetapi, tidak semua Profesor itu memiliki penerbitan yang boleh dikatakan unggul.

Dunia berputar dengan sangat cepat sehinggakan seseorang ahli akademik itu, terutama sekali seorang Profesor tidak dapat mengelak dari profil penerbitannya disemak. Di zaman 2020an ini, perlakuan ‘gebang’ dan ‘bercakap pun gajah boleh terbang’ tidak lagi boleh dilakukan. Penentuan kredibiliti penerbitan seseorang ahli akademik itu dapat dilakukan menerusi portal pencarian Scopus. Zaman kini, ‘H-Indeks Scopus’ adalah ‘matawang’ bagi para ahli akademik.

Dalam bidang undang-undang sebagai contoh, ‘H-indeks Scopus’ yang seringkali ditetapkan untuk kenaikan pangkat ke peringkat Profesor adalah lebih dari 6 dan ke atas, paling minimum. Untuk Sains tulen, kemungkinan H-indeks yang disyaratkan adalah lebih tinggi. Penerbitan pula haruslah banyak dan berimpak, dalam erti kata lain dikenali di dalam bidang.

Akan tetapi, carian yang dilakukan menunjukkan H-indeks segelintir profesor, tidak lah setinggi mana pun. Pergi sahaja ke laman web Scopus dan apabila carian dilakukan, didapati ada profesor, walaupun bukan semua, yang memegang jawatan seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan mahupun Timbalan Dekan memiliki H-Indeks Scopus yang kurang daripada tiga. Sekiranya H-Indeks Scopusnya tinggi sekalipun, ianya adalah kerana ahli akademik itu menjadi penulis kedua, ketiga, keempat atau selanjutnya bagi penerbitan berkenaan.

Persoalannya, adakah memang benar artikel itu ditulis atau sekadar penunggang gratis? Syarat kenaikan pangkat yang dikenakan adalah tidak setara dengan apa yang dimiliki oleh profesor-profesor tersebut. Seseorang ahli akademik memohon untuk kenaikan pangkat akan ditemuduga oleh seorang ahli akademik yang sudah bergelar profesor.

Agak pelik dan memalukan apabila seseorang calon yang ditemuduga oleh seorang profesor yang H-Indeks Scopusnya lebih rendah dari calon tersebut. Bukankah ini satu kepincangan dalam sistem pendidikan tinggi negara? Jawatan ‘profesor’ adalah jawatan yang mulia dan seharusnya diberikan kepada yang benar-benar layak.

Dalam bidang undang-undang terutamanya, adalah tidak munasabah untuk seseorang ahli akademik yang memiliki H-Indeks Scopus 3 ke bawah layak diangkat menjadi seorang profesor. Pincanglah kecendekiawanan sarjana-sarjana negara kalau begitu. Majoriti ahli akademik yang telah diangkat sebagai profesor madya mahupun profesor di Malaysia sememangnya layak untuk memegang pangkat tersebut. Disebabkan itu, banyak universiti Malaysia, awam dan swasta, yang diletakkan di kedudukan yang tinggi dalam posisi universiti-universiti terbaik dunia.

Namun, terdapat segelintir yang entah bagaimana, boleh lolos diangkat menjadi seorang profesor dan berjawatan penting dalam sesebuah universiti walaupun dengan sanjungan akademik yang tidak semenggah. Sekiranya tidak percaya, boleh cuba buat carian sendiri dan masukkan nama mana-mana ahli akademik menerusi laman web ‘Scopus author search’. Carian ini memberikan maklumat sebenar penerbitan dan bukan sekadar gebang.

Persoalannya, sampai bila universiti akan terperangkap dengan profesor jadi-jadian. Siapa makan cili, dialah terasa pedasnya.

Penulis adalah seorang pensyarah undang-undang di salah sebuah universiti awam di Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here