Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli (Perikatan Nasional) membandingkan titah diraja yang sedang dibahas dalam Dewan Rakyat dengan titah adendum yang  tidak boleh dibincangkan apabila kerajaan memfaikan Perintah Larangan Bersuara (gag order).

Beliau berkata, adalah suatu yang pelik apabila ruang perbincangan mengenai titah yang merupakan suatu arahan itu dilarang.

“Mengapa satu titah kita bersungguh-sungguh, titah itu arahan. Itu yang saya pelik. Setelah itu pula ada permohonan Gag Order (untuk titah adendum).

“Manusia ni ada yang boleh berkata-kata dan ada yang tidak boleh berkata-kata dengan makna bisu. Tapi yang bisu pun masih lagi menggunakan bahasa isyarat apatah lagi kita, manusia yang boleh berkata-kata.

“Bagaimana nak dihalang daripada kita (manusia) berkata (tentang) sesuatu sedangkan, kita boleh bercakap. Inilah persoalan yang saya rasa pelik dan rasa hairan dalam soal yang apabila datangnya larangan terhadap sesuatu yang sepatutnya kita bahaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian mengingatkan Wan Hasan supaya membahaskan topik seterusnya berikutan larangan perbincangan titah adendum yang kini berjalan di mahkamah.

“Teruskan ke topik seterusnya Dungun, sebab ia (titah adendum) masih dalam mahkamah, jadi kalau faham teruskan kalau tidak saya ambil tindakan.

“Kalau bincangkan pun, kalau sebut pun perkara itu dalam mahkamah. Apa yang nak dibincangkan. Kalau YB Dungun bangkitkan dengan harapan tindakan daripada kerajaan, tidak akan ada apa-apa kerajaan sebab ia dalam mahkamah. Ia hanya menghabiskan masa, teruskan ke topik yang lain,” katanya memberi amaran kepada Ahli Parlimen berkenaan.

Walau bagaimanapun, Wan Hasan mempertahankan tindakannya yang hanya membandingkan suatu titah yang dikemukakan.

“Titah yang kita bahaskan ini adalah titah yang mempunyai suara, titah yang diucapkan, titah (yang) kita bahas bersungguh-sungguh. Tapi ada satu titah yang tidak mempunyai suara, titah berbentuk arahan seperti titah adendum.

“Ini perlu untuk kita faham sebabnya kalau kita lihat, titah-titah yang datang daripada Istana… Saya tidak bahas tentang adendum (tapi) saya nak sebut tentang bagaimana (suatu) titah-titah datang (wujud),” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum.

Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC , Shamsul Bolhassan berkata, permohonan dibuat dengan alasan untuk melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here