BUTTERWORTH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai polis pada Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Ihsan Mohd Kamarun Zaman, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan susur keluar Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara pukul 8 malam pada 29 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia dakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki miliki 14 rekod lampau direman kes samun dan menyamar polis
MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan seorang lelaki yang mempunyai 14 rekod lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini.
Tangkapan ke atas suspek dibuat susulan seorang warga asing membuat laporan disamun suspek dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini pada 29 Januari lalu.
Suspek menunggang motosikal jenis Honda RSX dikatakan menahan mangsa berusia 40 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Seberang Jaya menghala Sungai Petani, Kedah.
Susulan itu, suspek mengambil beg milik mangsa sebelum cuba melarikan diri dan curiga dengan tindakan suspek, mangsa bergelut untuk dapatkan semula barang miliknya dan suspek hanya sempat melarikan wang berjumlah RM200. – MalaysiaGazette