MELAKA – Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) Melaka akan memanggil Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ada kakitangan agensi-agensi itu terlibat penyelewengan mencecah ratusan ribu ringgit.
Pengerusi PAC negeri, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, adalah mengaibkan apabila sebuah agensi agama Islam yang dipimpin kerajaan negeri terpalit dengan penyelewengan.
Menurutnya, agensi berkenaan menjadi contoh yang baik kepada yang lain sekali pun dakwaan itu masih samar-samar siapakah individu yang terbabit.
“Kalau sudah jumlah ratusan ribu pasti ada ‘jerung besar’ di peringkat tertinggi yang terlibat bukan setakat kakitangan biasa.
“Sebagai Pengerusi PAC Melaka, saya akan memanggil pihak MAIM untuk beri penjelasan,” katanya melalui Facebook rasminya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegur berhubung salah laku membabitkan kakitangan agensi-agensi agama Islam negeri.
Perkara itu turut diakui Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengenai
terdapat segelintir kakitangan agensi-agensi agama Islam di negeri ini terlibat aktiviti penyelewengan berjumlah ratusan ribu ringgit.
Beliau mengakui penyelewengan terus berlaku sekali pun telah diberikan amaran termasuk ada individu sudah ditahan dan menunggu pendakwaan.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka merangkap ketua pembangkang berkata, mereka yang bersalah tidak seharusnya dilindungi selepas ini.
“…yang bersalah akan didedahkan dan tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang sama ada ‘jerung’ mahupun ikan bilis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette