JOHOR BAHRU – Seorang penuntut Politeknik Metro di Taman Putera di sini, Nur Alya Atiqah Muhamad Fitri, 18, hilang sejak 3 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, remaja berkenaan dilapor hilang pada 11.30 pagi, 3 Februari lalu selepas keluar dan tidak pulang semula ke politeknik berkenaan.

“Alamat terakhir pelajar terbabit adalah  Politeknik Metro di Jalan Suria 19, Taman Putera di sini sebelum laporan polis dilakukan pada hari yang sama.

“Anggaran berat remaja berkenaan adalah 45 kilogram, ketinggiannya 150 sentimeter dan berambut hitam ikal paras bahu serta warna kulitnya kuning langsat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu pihaknya sedang mengesan dan meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan berkenaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan lokasi remaja terbabit boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam membantu penyiasatan polis,” katanya.

Sementara itu, maklumat kehilangan remaja perempuan berkenaan tular dalam Facebook sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan remaja berkenaan adalah pelajar tahun kedua di politeknik itu dan keluarga membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya selepas tidak dapat dihubungi.

Remaja itu mengikuti kursus pengurusan logistik manakala keluarga remaja berkenaan ketika dihubungi menyatakan masih belum bersedia untuk ditemubual.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here