KUALA LUMPUR – Pembabitan wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum mencapai sasaran 10 peratus seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan sebelum ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sehingga kini terdapat kekurangan lebih kurang dua peratus daripada sasaran yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, kementerian berkenaan akan mengkaji semula Kertas Putih Pertahanan pada tahun ini.
“Terdapat beberapa aspek yang boleh kita tingkatkan lagi untuk pembabitan wanita dalam ATM terutamanya daripada segi penggunaan teknologi. Malah dalam domain siber, ruang kepada wanita amat terbuka luas.
“Melalui Kertas Putih Pertahanan itu kita boleh mencapai sasaran tetapi yang paling penting adalah kita mahu tingkatkan melalui promosi, pembabitan wanita di ATM,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Siti Mastura Muhammad (Kepala Batras-PN) berhubung pembabitan wanita berbanding perjawatan yang dilaksanakan sejak tiga tahun kebelakangan ini bagi mencapai sasaran 10 peratus keanggotaan wanita dalam ATM.
Menurut beliau, sehingga 31 Disember tahun lalu, jumlah keseluruhan anggota wanita yang berkhidmat di ATM adalah seramai 9,550 orang.
Dengan pecahan 6,574 daripada tentera darat, 1,953 anggota tentera laut dan 1,023 anggota tentera udara.
“Kerajaan juga sentiasa komited menghantar anggota dan pasukan keselamatan khususnya yang membabitkan anggota wanita dalam pelbagai misi penting.
“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 222 anggota wanita ATM berkhidmat di luar negara. Mereka terbait dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik, serta tugasan diplomatik ketenteraan,” katanya.
Sementara itu, Adly memaklumkan tiga misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan pembabitan 118 anggota wanita iaitu Op STARLIGHT bagi memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh membabitkan penugasan seramai 89 anggota Wanita.- MalaysiaGazette