Gambar hiasan

IPOH – Perangkap harimau yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini pada 21 Jan, tidak akan dibuka walaupun haiwan pemangsa itu dilaporkan telah kembali ke dalam Hutan Simpan Bukit Kinta.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata, pemantauan secara berkala juga akan terus dilakukan anggota Perhilitan, bagi memastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku, terutama membabitkan serangan terhadap haiwan ternakan penduduk kampung itu.

“Walaupun tiada aduan atau laporan daripada penduduk, namun kita tidak mahu ambil risiko. Jadi, perangkap khas itu akan kita kekalkan di lokasi untuk tindakan pencegahan sehingga tiada lagi sebarang ancaman.

“Perhilitan juga masih menjalankan pemantauan kerana kawasan hutan berhampiran kampung itu merupakan laluan atau kawasan rayau harimau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 21 Jan, Perhilitan Perak memaklumkan selain perangkap khas, sebuah kamera juga telah dipasang bagi tujuan pengesanan pemangsa dikenali dengan nama saintifik Panthera Tigris Jacksoni, yang menyerang lembu ternakan penduduk pada 17 Jan.

Yusoff berkata pihaknya turut menasihatkan penduduk kampung supaya berwaspada dan mengurangkan aktiviti bersendirian, terutama di kawasan kebun atau kandang haiwan ternakan yang berhampiran hutan berkenaan.

“Kita minta supaya penduduk tempatkan semula haiwan mereka di kandang masing-masing bagi mengelak risiko berulang dan hubungi pihak Perhilitan jika terdapat kesan atau jejak baharu yang ditemukan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here