PUTRAJAYA – Titah adendum yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan.
Justeru itu, kata peguam utama mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, setakat ini pihaknya belum lagi mengemukakan sebarang permohonan pengampunan penuh untuk kali kedua untuk Najib.
Bagaimanapun, beliau sedang mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan tersebut tanpa menjejaskan hak Najib dalam menuntut pelaksanaan adendum tersebut.
“Sehingga kini, belum ada permohonan pengampunan kedua tetapi saya sedang menimbangkannya tanpa prejudis terhadap hak Najib untuk meneruskan tuntutan berkaitan adendum ini yang belum dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Najib memberi mandat kepada peguamnya untuk mengemukakan pengampunan penuh kepada YDPA.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut merupakan usaha terakhir yang sedang dilakukan untuk bekas Presiden UMNO tersebut.
Sambung Muhammad Shafee, andainya tuntutan terhadap adendum tidak diteruskan, ia akan membawa implikasi besar kerana hak yang telah diberikan kepada Najib tidak dimanfaatkan sepenuhnya seperti termaktub dalam titah tersebut.
“Kita selalu katakan ada pihak yang kurang ajar kerana tidak mematuhi perintah YDPA. Tetapi jika kita sendiri tidak menegakkan titah baginda, bukankah kita juga bersikap demikian?
“Ini bukan sekadar dokumen biasa, ia adalah titah YDPA. Maka, ia perlu dihormati dan dilaksanakan,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, jika permohonan pengampunan kedua dibuat, ia akan dilakukan tanpa menjejaskan hak untuk meneruskan tuntutan terhadap adendum yang telah dikeluarkan oleh YDPA terdahulu.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut menjelaskan pihaknya telah lama mempertimbangkan permohonan pembebasan bersyarat (parol) bagi Najib dan ia juga boleh dikemukakan.
Namun, katanya, ia tidak akan menjejaskan tuntutan berkaitan adendum kerana kedua-duanya adalah hak berasingan yang diberikan oleh Perlembagaan.
“Sebenarnya ada segelintir pihak membuat komen tanpa memahami peruntukan undang-undang.
”Jika kita merujuk Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, ia bukan sahaja menyebut mengenai pengampunan tetapi juga mengenai penangguhan hukuman serta bentuk pengurangan hukuman lain.
“Semua ini adalah hak individu dalam situasi yang serupa dengan pengampunan,”ujarnya. – MalaysiaGazette