Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempersoalkan sama ada Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) turut memainkan peranan sebagai pengagregat (agregator) gas tunggal di Sarawak.

Menurut Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, ia susulan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 5 Februari lalu yang menyatakan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menerima peranan Petros sebagai agregator gas, bukan gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak.

“Betong agak keliru dengan jawapan bertulis Menteri ini kerana adakah ia bermaksud gas bukan LPG?

“Saya mohon penjelasan kerana kenyataan ini agak mengelirukan kerana agregator tunggal adalah untuk gas sama ada bagi kegunaan domestik atau eksport.

“Persoalannya adakah Menteri berada dalam mesyuarat Jawatankuasan MA 63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak pada masa rundingan itu dibuat.

“Adakah kenyataan tersebut telah disemak dengan Premier Sarawak bahawa ia selari dengan apa yang telah dipersetujui antara Perdana Menteri dengan Premier Sarawak,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Richard berkata, pelantikan Petros sebagai gas agregator tunggal di Sarawak adalah muktamad dan telah berkuat kuasa pada 1 Februari 2024.

Jelasnya, Petros akan berperanan dalam menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan serta penjualan gas asli di negeri itu dan Sarawak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung pengagihan sumber minyak dan gas di wilayah negeri itu.

“Kita terima hakikat bahawa Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 meletakkan Petronas menguruskan semua sumber minyak dan gas Persekutuan di seluruh negara.

“Tetapi pengeluaran minyak dan gas dalam wilayah Sarawak, negeri ini juga mesti ada suara, kita mengiktiraf PDA 1974 dan pada masa sama, kita juga mahu undang-undang Sarawak dihormati.

“Oleh sebab itu Sarawak tubuhkan Petros yang akan bekerjasama dengan Petronas dan Sarawak mempunyai hak untuk bersuara dalam pengagihan gas.

“Perdana Menteri juga sudah bersetuju untuk Petros menjadi aggregator gas tunggal di Sarawak dan ini tidak akan mengganggu operasi sedia ada Petronas,” katanya.

Tambah Richard, Sarawak juga mempunyai kepentingan dalam Petronas, justeru turut mengharapkan syarikat minyak nasional tersebut terus maju.

Sehubungan itu, ujar beliau, adalah amat penting untuk hak Petronas dan Petros di kawasan atau domain masing-masing dihormati.

“Sehubungan itu, saya mohon Menteri jelaskan mengenai operasi dan aktiviti Petronas di wilayah Sarawak terutamanya mengenai pegecualian pelesenan untuk Petronas.

“Yang kedua berkenaan pelan susunan perancangan perniagaan untuk LPG dan ketiga mengenai kewujudan bersama undang-undang Persekutuan dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Sarawak dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat negeri itu dilindungi sepenuhnya.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memastikan keadilan tetapi juga mengukuhkan perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here