PUTRAJAYA – Perdana Menteri akan membawa usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam melakukan transformasi institusi di negara ini.
“Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sudah ditugaskan untuk memberi beberapa usul untuk menyeragamkan beberapa agensi untuk dibawa untuk KSN (Ketua Setiausaha Negara).
“Saya akan putuskan setelah saya bentang ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa singkat melainkan memberikan laluan,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Sistem iPayment di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, usul penyeragaman itu dilakukan bagi mengatasi masalah yang timbul akibat agensi-agensi kerajaan yang menubuhkan syarikat hingga mencatatkan kerugian yang besar.
“Saya telah beri arahan supaya tidak boleh diwujudkan mana-mana syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
“Tetapi memutuskan untuk membatalkan, itu bukan perkara yang mudah, jika wajib kita lakukan, kita akan lakukan, kerana ini memberi makna atau memaknai reformasi institusi,” katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang giat menekankan reformasi institusi.
“Bila kita sebut reformasi institusi khususnya perkhidmatan awam harus ada kepantasan luar biasa. Saya harap seluruh jentera kerajaan termasuk syarikat-syarikat lakukan (reformasi institusi).
“Dua minggu lalu, kita meluncurkan pengauditan yang melibatkan bukan sahaja jabatan tetapi juga syarikat-syarikat kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette