KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kesal kerana usul sidang tergempar bagi membincangkan konflik di Palestin khususnya berkenaan nasib penduduk di Gaza di tolak Speaker Dewan Rakyat.
Sedangkan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sidang tergempar itu dillihat sangat kritikal ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berterusan mempromosikan idea untuk melakukan pembersihan etnik dan mengusir penduduk Gaza dari tanah air mereka.
Ujar beliau, usul sidang tergempar itu juga perlu diadakan sebagai manifestasi atau penzahiran pendirian rakyat Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya rancangan Trump di Gaza.
Ia juga, tambahnya, selepas kenyataan yang dibuat kerajaan khususnya menerusi Wisma Putra berhubung situasi di Gaza disifatkan amat lemah dan langsung tidak membantu dalam mengangkat perjuangan rakyat Palestin seperti mana pendirian konsisten dan tegas kerajaan Malaysia sebelum ini.
“Saya faham pemimpin di seluruh dunia ketika ini sedang berhati-hati untuk melontarkan pandangan yang mungkin ditakuti akan membuat Trump marah.
“Jadi saya faham kekangan yang dimiliki oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Wisma Putra.
“Sebab itulah Parlimen boleh digunakan untuk menyatakan pendirian rasmi kerajaan kerana kami (Ahli-ahli Parlimen) mewakili hasrat rakyat dalam menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap cadangan gila Trump yang menjurus kepada pembersihan etnik di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, ini bukan kali pertama PN mencadangkan usul sidang tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan isu Palestin sebaliknya merupakan kali kelima sepanjang tempoh dua tahun lalu.
Jelas beliau, PN berterusan mendesak supaya sidang tergempar itu diadakan kerana selain melihat ia keperluan mendesak, isu berkaitan Palestin juga perlu dibincangkan dengan mendalam dan teliti dari pelbagai sudut pandang.
Sebagai contoh, ujarnya, sidang tergempar itu kelak boleh memberi cadangan kepada kerajaan Malaysia supaya mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar misi keamanan bagi melindungi keselamatan rakyat Palestin yang pulang ke Gaza.
Selain itu, katanya, kerajaan Malaysia juga boleh dicadangkan untuk bersama-sama Afrika mengemukakan memorandum kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menunjukkan Israel melakukan jenayah genosid di Palestin.
“Sekarang ini kita lihat seolah-olah apabila gencatan senjata antara Hamas dan Israel dicapai, maka krisis di Gaza selesai, seolah-olah nyawa lebih 40,000 penduduk Palestin yang melayang (sejak krisis kira-kira setahun lalu) tidak bermakna,” katanya. – MalaysiaGazette