KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes samun rantai emas milik seorang warga emas di Felda Kampung Rahmat, Setiu, Terengganu semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata, suspek berpura-pura bertanya kepada mangsa mengenai rumah untuk disewa dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.15 tengah hari.
“Suspek telah memimpin tangan mangsa, seorang wanita berusia 72 tahun ke rumah tersebut sebelum mengajaknya duduk di atas katil.
“Namun sebaik sahaja mangsa duduk, suspek bertindak menolaknya hingga terbaring lalu menekup mukanya dengan kain.
“Mangsa cuba untuk melawan tetapi suspek bertindak memukul dahinya dengan serpihan bata simen sebelum melarikan rantai emas miliknya,” katanya hari ini.
Menurut Mohd Zain, kejadian itu disedari jiran mangsa yang terdengar bunyi bising di hadapan rumah.
“Jiran tersebut keluar dan mendapati mangsa berlumuran darah di tangga rumahnya sebelum meminta anaknya memanggil ahli keluarga bagi membawa mangsa ke Hospital Setiu.
“Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis,” jelasnya.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Mohd Zain turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette