KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah membangunkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM) bagi mengesan pergerakan murid secara komprehensif.
Ia termasuk murid yang berisiko cicir, murid tercicir dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sistem itu juga sedang diperkukuhkan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani keciciran.
Jelasnya, sistem itu dapat membantu pihak sekolah mengesan murid secara individu bagi melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak peringkat awal.
“KPM telah melaksanakan Program outreach yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabatan Pendidikan Daerah (PPD) dan pelibatan komuniti setempat bagi membantu murid cicir kembali ke sekolah.
“Pada tahun 2024, program ini berjaya mengembalikan 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kah Woh (PH-Taiping) menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung langkah proaktif yang diambil KPM untuk mengatasi isu-isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak Malaysia tanpa mengira latar belakang sebagai komitmen berterusan meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Kah Woh berkata, bagi memastikan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman terus bersekolah, KPM turut memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) yang kini diperluaskan kepada Sekolah Komprehensif 11 (K11).
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan kadar keciciran murid dalam transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah dan dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4.
“Bagi terus memantapkan usaha ini, KPM telah membangunkan Sistem Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan.
“Aplikasi ini membolehkan pihak sekolah merekodkan sebab ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM, seterusnya membantu dalam merangka strategi intervensi yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah, KPM turut menyediakan akses pendidikan digital melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan bertujuan membolehkan murid menerima akses kepada bahan pembelajaran secara digital, tanpa mengira lokasi mereka.
“Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu keciciran dan seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa isu keciciran dan akses pendidikan merupakan non-negotiable issue yang tidak akan dikompromi oleh KPM,” katanya. – MalaysiaGazette