ISTANBUL – Seorang bekas pegawai tentera Israel menuduh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Presiden Donald Trump adalah individu yang mempertaruhkan nyawa tebusan dan menjejaskan perjanjian gencatan senjata Gaza.
Malah, bekas juruterbang tentera Israel, Guy Pran menafikan Hamas telah melanggar perjanjian itu.
“Bagi Trump, dialah yang mendesak untuk menandatangani perjanjian ini – perjanjian yang sama yang ditandatangani kurang dari sebulan yang lalu. Dan kini, akhirnya dia menekan Israel untuk melanggar perjanjian yang dia sendiri mendesak mereka untuk menandatanganinya.
“Dia (Trump) adalah seorang lelaki yang bercakap kosong, dan pada masa yang sama, dia dan Bibi (Netanyahu) adalah orang yang bertanggungjawab ke atas nasib tebusan yang tinggal di sana, dan itu akan menjadi tanggungjawab mereka.
“Trump dan Netanyahu mahu membunuh tebusan,” kata Poran dalam program televisyen di saluran Israel i24News.
Ketika ditanya sama ada kumpulan penentang Palestin Hamas bertanggungjawab melanggar perjanjian gencatan senjata, Poran berkata, “Tidak, tidak sama sekali.”
Netanyahu mengancam pada petang Selasa untuk menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza jika Hamas gagal membebaskan tawanan menjelang tengah hari Sabtu.
Ancaman itu datang sehari selepas Hamas berkata, ia akan menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya sebagai tindak balas kepada pencabulan perjanjian gencatan senjata Israel.
Pihak berkuasa Palestin tempatan telah menyenaraikan beberapa siri pelanggaran perjanjian Israel, termasuk menembak orang awam dan menafikan akses kepada bahan bantuan, termasuk khemah dan karavan untuk orang awam yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.
“Itu hanya karut, pembohongan lengkap. Malah fakta Israel mempunyai senarai ini – itu hanya alasan. Satu alasan.
“Presiden (Trump) ini gila. Semua yang dia katakan tentang pengusiran adalah perkara yang sama yang dia katakan mengenai Kanada dan Greenland, atau membina tembok dengan Mexico, dengan mendakwa orang Mexico akan membayarnya,” tambah bekas pegawai Israel itu.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa telah dilaksanakan di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai Israel yang telah membunuh lebih 48,200 orang dan meninggalkan kawasan itu dalam runtuhan.
Seramai 16 warga Israel dan lima pekerja Thailand setakat ini telah dibebaskan oleh Hamas sebagai balasan kepada ratusan tahanan Palestin di penjara Israel di bawah fasa pertama perjanjian itu.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoavav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap kawasan itu. – Agensi