Seorang tukang besi direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana terlibat dalam kejadian tetak.

JOHOR BAHRU – Seorang tukang besi yang disyaki terlibat dalam kejadian tetak sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah di Jalan Meldrum di bandar raya ini semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret di sini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam kenyataan memberitahu, kejadian itu melibatkan mangsa berusia 43 tahun yang tidak bekerja dan suspek berusia 45 tahun pada pukul 2.29 petang berhampiran Merlin Towers.

Beliau berkata, mangsa dan suspek dalam kes tetak tersebut berlaku dalam keadaan mereka sedang mabuk dan saling tidak mengenali.

“Mereka melepak meminum minuman keras di kawasan lokasi kejadian. Mangsa dan suspek dilaporkan bergaduh mulut sebelum membawa kepada kejadian tetak itu.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian disyaki akibat pergaduhan mulut di antara kedua-dua pihak yang pada ketika itu berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pergaduhan bersenjata membabitkan dua lelaki itu daripada orang awam pukul 2.29 petang.

Akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Raub berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu.

Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun semakan lanjut mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod dikehendaki polis.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif methaphetamine,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Semalam tular dalam media sosial beberapa video dan gambar kejadian itu yang turut memaparkan keadaan mangsa ketika berlumuran darah.

Turut dipaparkan senjata dipercayai digunakan suspek dan gambar suspek yang sedang tertiarap dengan tangan bergari selepas dipercayai berjaya ditahan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here