KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di negara ini yang menggunakan teknologi fiber berprestasi tinggi atau Multi-Fiber Modular termaju bagi projek pemuliharaan dan naik taraf tasik.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, projek itu bertujuan memperbaiki kualiti air tasik universiti berkenaan yang tercemar akibat pembuangan sisa domestik berhampiran.
Beliau berkata, penggunaan teknologi yang menelan belanja RM3 juta itu mula dilaksanakan pada Januari tahun lepas meliputi dua fasa.
“Teknologi fiber berprestasi tinggi dengan keliangan separa telap berbilang peringkat untuk aplikasi itu merawat pencemaran sumber air daripada semua jenis bahan pencemar dan menghasilkan air bersih terawat.
“Kelebihan teknologi ini adalah proses yang bebas bahan kimia, kompak dan sangat efisien untuk semua jenis sumber air termasuk air laut.
“Analisis yang dijalankan Institut Pantai Timur UniSZA (ESERI) sebelum ini mendapati kualiti air tasik semakin merosot dengan bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) berada pada kelas IV,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata, projek yang melibatkan kerja-kerja pemuliharaan pencemaran telah dilaksanakan pada Jan 2024 dan siap pada Sept tahun sama.
Beliau berkata, hasilnya kualiti air tasik UniSZA telah mengalami peningkatan ketara iaitu berubah daripada kelas IV kepada kelas II.
Selain itu, sistem rawatan air yang dibangunkan melalui projek itu juga mampu menghasilkan 500,000 liter air terawat sehari.
“Projek itu juga memberi impak positif kepada imej UniSZA dalam menjaga kelestarian alam sekitar dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya. — BERNAMA