ALOR GAJAH – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas dan merempuh tembok batu dalam nahas berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, Kampung Pengkalan, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.45 malam itu, mangsa pekerja kilang Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-1.25.07-AM.jpeg)
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height.
“Hasil siasatan awal mendapati sebaik tiba dilokasi nahas yang berselekoh, motosikal mangsa jenis Yamaha LC dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke arah kanan jalan dan melanggar tembok batu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan akibat parah di kepala dan mayat dibawa ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ashari berkata, terdapat saksi bebas yang melihat kejadian tersebut dan diminta tampil untuk membantu siasatan.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2024/08/MGF19082024_OCPD-ALOR-GAJAH-3.jpg)
“Motosikal terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan kes
disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya. – MalaysiaGazette