KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengambil inisiatif lebih besar dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang mesra autisme.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, langkah progresif itu amat diperlukan dalam memastikan kanak-kanak autisme mendapat akses kepada pendidikan awal, bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Pemuda UMNO Bahagian Batu menyambut baik dan menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk mewujudkan program Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas khas bagi anak-anak autisme.
“Ia bukan sahaja membantu perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak autisme, bahkan meringankan beban ibu bapa yang sering berdepan cabaran mendapatkan pusat pendidikan awal yang bersesuaian dengan anak-anak istimewa itu.
“Keperluan kemudahan mesra autisme seiring dengan status Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju dalam memperjuangkan hak pendidikan inklusif,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata,Tabika Kemas autisme pertama di Malaysia akan dibuka awal tahun ini.
Dr Akmal berkata, fasiliti khas itu akan dibuka di setiap daerah bermula di Melaka dengan mengutamakan anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40).
Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, cadangan pelaksanaan tersebut diterima baik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohd Zulfadli berkata, pihaknya juga menyeru agar program ini disokong dengan latihan khusus kepada tenaga pengajar, penambahan kemudahan pembelajaran yang mesra autisme serta sokongan psikososial kepada ibu bapa.
“Kami bersedia untuk memainkan peranan aktif dalam menggerakkan kesedaran serta mendapatkan maklum balas masyarakat bagi memastikan cadangan ini dapat direalisasikan dengan berkesan.
“Kami percaya pendidikan berkualiti adalah hak setiap kanak-kanak, termasuk anak-anak istimewa ini.
“Pemuda UMNO Bahagian Batu akan terus memperjuangkan inisiatif-inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat dan memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette