BANGI – Zahnita Wilson yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga membayangkan sedia berdamai dengan suaminya, Ahmad Zackery Ghouse Abdul Gafor.
Kesediaannya itu hanya demi anak-anak sahaja.
Tegasnya, untuk kembali bersama ia adalah sesuatu yang tidak akan berlaku.
Sejak kisah dibelasah oleh suaminya terbongkar Disember lalu, Zahnita berkata, Abdul Zackery tidak pernah datang untuk memujuknya.
“Namun, jika dia datang sekali pun saya hanya akan setuju untuk berdamai dan bukannya untuk kembali bersama,” katanya dengan penuh nekad.
Beliau ditemui selepas pelancaran Wajah Baharu Raya 2025 NR Cosmetics di sini, hari ini.
Pelakon dan model terkenal ini mengakui dia masih trauma dan kini lebih selesa dengan kehidupan sekarang, sibuk dengan anak-anak dan perniagaan pai yang diusahakannya.
Zahnita yang kelihatan berhati-hati ketika menjawab soalan media berkata, sebutan kes penceraiannya akan berlangsung di Mahkamah Syariah Kuantan, 28 Februari ini.
Ditanya mengenai persiapan beliau menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi, Zahnita berkata, tiada yang beza kerana dia pastinya akan mengejut anak-anak untuk bersahur dan bersiap untuk ke sekolah.
“Semuanya masih lagi sama, apa yang membezakan adalah status saya tahun ini,” tambahnya sambil memberitahu dia begitu sibuk melakukan persiapan untuk membuka gerai di bazar Ramadan nanti.
Pada masa sama, katanya, pai yang diusahakanna semakin mendapat permintaan tinggi.
“Tempahan sedang dibuka sehingga Jumaat ini. Jika berminat, boleh isi form di laman sosial Instagram saya,” katanya dengan senyuman manis.
Zahnita berkata, buat masa ini dia hanya mempunyai seorang pekerja sahaja menyebabkan tidak mampu mengambil banyak tempahan.
“Sesiapa yang mahu merasai pai saya, boleh tempah sekarang,” ujarnya. – MalaysiaGazette