Antara individu yang ditahan kerana melakukan kesalahan mempromosikan judi atas talian dalam satu serbuan Op Dadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di kawasan perindustrian Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,026 laman sesawang judi telah disekat manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial telah diturunkan sejak 2022 hingga 1 Februari tahun ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagi memastikan ekosistem rangkaian internet selamat digunakan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.

“Langkah ini memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh SKMM dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan langkah-langkah terkini yang diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, kebanyakan pengendali platform media sosial memberikan kerjasama yang baik sejak penetapan permohonan lesen dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada platform yang masih berlengah dalam usaha menurunkan iklan berkaitan judi haram.

“Sejak kita memulakan proses dan rejim perlesenan ini kita dapati banyak platform memberikan respon berbeza-beza ada yang sangat bersedia untuk memberi kerjasama, ada yang culas, malah memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan proses.

“Secara umum platform seperti Youtube kita dapati iklan judi juga banyak disiarkan dari 1 Januari hingga tengah malam tadi sebanyak 5,167 kandungan telah dipohon untuk diturunkan dan 5,115 yang Youtube telah turunkan.

“Bermaksud Google pada waktu ini belum dilesenkan tapi kerjasama yang mereka berikan sangat baik berbeza dengan Telegram yang mana secara keseluruhan hanya 39 peratus permintaan diuruskan,” jelas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here