KUALA LUMPUR – Pembangkang menempelak Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang menyarankan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, pelantikan menteri tersebut diberikan kepada individu beragama Islam selaras dengan kedudukan agama itu dalam negara.
Yu Hui sepatutnya maklum tentang perkara tersebut, ujarnya.
“Dia kena ingat negara kita ini agama Islam adalah agama rasmi. Sebab itu kita lantik seorang yang beragama Islam untuk melihat tentang kedudukan tentang agama Islam sebab ia merupakan agama yang rasmi,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen.
Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan mempunyai kaedah untuk memastikan kebajikan penganut agama lain tetap terpelihara.
“Dalam keharmonian negara, kita juga ada Kementerian Perpaduan, yang mana di situ boleh dibincangkan bagaimana untuk membantu mereka yang mempunyai kepercayaan agama lain.
“Begitu juga dengan kedudukan budaya mereka yang boleh kita lihat sebagai sesuatu yang boleh kita pasarkan, supaya orang luar datang dan melihat kepelbagaian negara kita,” katanya lagi.
Semalam Chow ketika Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan agar portfolio Menteri berkenaan dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Katanya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat.-
Terdahulu, cadangan mengenai garis panduan umat Islam menghadiri perayaan bukan orang Islam menjadi kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan garis panduan tersebut diwujudkan.- MalaysiaGazette