BUKIT KAYU HITAM – Cubaan menyeludup 36,004 kilogram (kg) makanan haiwan bernilai RM75,481 dari Thailand berjaya ditumpaskan Pasukan Pegawai Petugas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), semalam.
Agensi itu menerusi kenyataan berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dipatahkan ketika pihaknya melakukan pemeriksaan rutin di laluan pemeriksaan kenderaan berat di Kompleks ICQS di sini kira-kira jam 7.40 malam.
“Hasil pemeriksaan teliti AKPS mendapati sejumlah 8,000 kg makanan haiwan yang diisytihar tidak tepat dan mengelirukan kerana mempunyai tarikh luput berlainan dengan sijil kesihatan.
“Manakala 28,004 kg lagi tidak mempunyai permit import sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya AKPS menerusi satu kenyataan, hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-13-at-3.32.43-PM.jpeg)
AKPS juga berkata, kesalahan tersebut tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Semua barang rampasan telah diserahkan kepada MAQIS Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kenyataan itu. – MalaysiaGazette