BALING – Dua anak kepada pensyarah di sebuah universiti awam di Kedah yang dilaporkan hilang ketika bermain di hadapan rumah mereka di Taman Insaniah, Kuala Ketil ditemui selamat di Sungai Tiang, Pendang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, dua beradik masing-masing lelaki dan perempuan itu ditemui menaiki kenderaan e-hailing.
Difahamkan, kedua-dua remaja itu ditemui kira-kira 53 kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
“Mereka ditemui sekitar jam 4.30 petang tadi dalam keadaan selamat dan anggota sedang dalam perjalanan ke sana untuk membawa pulang kedua-dua mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Azmi mengesahkan menerima laporan polis daripada seorang wanita warga Maghribi berhubung kehilangan dua orang anaknya.
Maryem Abous mendakwa, kali terakhir dia melihat anak perempuannya, Nur Ikhlas, 14, dan adiknya, Mohamad Farouq, 13, pada jam 12.30 tengah hari tadi di hadapan rumahnya sebelum gagal dikesan.- MalaysiaGazette