Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap ketika sidang media berkenaan Pemberian Kuasa Kepada PUSPAKOM untuk Menjalankan Fungsi Pemeriksaan Kenderaan Motor di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 26 OGOS 2024.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melaksanakan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat, di bandar raya ini dalam masa terdekat.

Menterinya, Anthony Loke berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas pihaknya membentangkan kertas pertimbangan pembangunan ART bertingkat kepada Kabinet pada Disember lalu.

“Kabinet kemudian telah mengarahkan UKAS di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memanggil RFP.

“RFP ini maksudnya kita mahu kerjasama dengan pihak swasta melalui konsep Kerjasama Awam Swasta (PPP). Jadi ini yang kita hasratkan untuk laksanakan dengan cepat.

“Oleh itu, RFP akan dipanggil UKAS dalam masa terdekat. Hasrat kita memang untuk bina ART bertingkat.

“RFP ini akan dinilai dahulu, apabila kita buat keputusan nanti itu baru ia akan disahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Berhad, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, ART bertingkat adalah konsep kemudahan dan sistem pengangkutan yang lebih mudah dan lebih cepat dapat dilaksanakan.

Katanya, ART bertingkat itu membabitkan jejambat serta lorong khusus.

“Kebaikannya adalah ia bukan sahaja khusus untuk ART namun ia juga boleh digunakan sebagai laluan bas secara bercampur, berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT), landasannya untuk satu sistem sahaja.

“ART bertingkat ini konsepnya laluan bas campur dengan rel, jadi ia lebih fleksibel. Ia sistem pengangkutan yang diperlukan Johor Bahru malah menjadi hasrat kerajaan negeri ini pembinaan ART bertingkat.

“Jika LRT pula, ia mengambil tempoh lama untuk dibina, pembinaannya paling cepat pun antara lima ke tujuh tahun manakala ART bertingkat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.

Pada 15 April tahun lalu, Kerajaan Johor dilaporkan mencadangkan pelaksanaan ART bertingkat bagi mengatasi kesesakan di pusat bandar raya ini yang semakin kritikal.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, cadangan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

ART bertingkat akan dibangunkan dengan kos hampir RM7 bilion membabitkan 32 stesen di tiga laluan membabitkan jarak lebih 50 kilometer.

Johor dilaporkan memilih sistem ART bertingkat tempoh waktu pembinaan yang lebih singkat, bagi membolehkan ia melengkapi sistem Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.

Projek RTS Link membabitkan rangkaian rel sepanjang empat kilometer menghubungkan Stesen Bukit Chagar di sini, dengan Stesen Utara Woodlands di Singapura.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here