KUALA LUMPUR – Ujian yang menimpa setiap individu pasti tidak akan sama dengan yang lain. Ada diuji dengan kehilangan orang tersayang, ada pula diuji dengan kehilangan pekerjaan dan ada diuji dengan masalah kesihatan serta pelbagai ujian lain lagi.
Namun reda bagi sesetengah individu mungkin senang untuk dituturkan di bibir tetapi belum tentu itu kuat untuk menghadapinya. Tidak semua dapat reda ketika hatinya merasa bahagia sewaktu menerima takdir yang mendukacitakan.
Begitulah yang diluahkan seorang ibu tunggal Rosnah Abd Walad, 60. Bagi ibu kepada tiga anak itu, air matanya sudah kering untuk ditangisi. Dia akui sudah lama reda ditimpa ujian demi ujian dalam hidupnya.
Dia menjaga arwah suami, Zainal Abidin Mohd. Said yang lumpuh sejak 15 tahun lalu dan anak bongsu yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir 29 tahun yang menuntut kesabaran yang cukup luar biasa.
Tiga tahun lalu, dia pasrah apabila kehilangan suami tersayang yang dianggap separuh nyawanya. Rosnah yang turut mengidap penyakit sama tiba-tiba berdepan masalah kesihatan sejak pertengahan tahun lalu sebelum mengalami batuk berdarah.
Demi anak kurang upayanya (OKU), Nabil Najmil, dia tidak sanggup meninggalkan permata hatinya untuk ke hospital kerana mereka tidak pernah berjauhan dilahirkan. Namun Disember lalu, dia terpaksa mengalah apabila dikejarkan ke hospital kerana keadaan kesihatannya yang semakin serius.
Saringan kesihatan dan pemeriksaan dilakukan dan Rosnah disahkan mengidap kanser saluran darah dan virus itu mula merebak ke hati. Sejak sebulan lalu, dia terpaksa mengorek wang simpanan untuk membeli ubat berharga RM3,000 untuk penggunaan selama sebulan.
Ketika ini bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia hanya berharap pencen arwah suami sebanyak RM1,600, bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk OKU terlantar RM500 sebulan dan sumbangan Baitulmal untuk lampin pakai buang buat Nabil sebanyak 20 beg sebulan.
Rosnah turut memberitahu dia baru memohon bantuan perubatan bagi bil ubatan kansernya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam memandangkan arwah suaminya merupakan bekas kakitangan kerajaan namun difahamkan keputusan permohonan dijangka diketahui dalam tempoh tiga ke empat bulan lagi.
Dengan masalah kesihatan itu, Rosnah akui dia kadang-kadang menjadi keliru kerana berbelah bahagi untuk reda melepaskan anak OKUnya itu pergi meninggalkan dia dahulu.
“Makcik doakan biar Nabil pergi dahulu. Tetapi kalau dia pergi dahulu, makcik tidak tahu pula apa akan jadi dekat makcik. Makcik memang kena kuat. Masa masuk wad 10 hari pada Disember lalu, bila balik rumah tengok dia makin kurus.
“Bukan sebab abang-abang dia tidak jaga tetapi Nabil memang tidak mahu makan kalau makcik tidak suap. Abang-abang hendak suap, dia tetap tolak.
“Sejak pada itu, makcik reda kalau dia pergi dulu. Tapi dua hari lepas, Nabil muntah dan keadaan mulut dan kaki jadi biru sebab Nabil ada masalah usus. Tiba-tiba saya berdoa, janganlah Ya Allah engkau ambil dia, saya tidak sanggup kehilangan.
“Sekarang makcik berdoa agar Allah SWT ambillah kami bersama sebab dia pun tidak sanggup tinggalkan makcik dan makcik pun tidak sanggup kehilangan dia,” katanya berlinangan air mata.
Rosnah yang kini tinggal berdua bersama Nabil ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur (PERKEMM), Sanah Manap yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga dua beranak itu.
Rumah PPR itu sebelum ini disewa mereka dengan bayaran RM124 sebulan namun kini sudah diselesaikan pembayaran oleh Tenaga Nasional Berhad untuk menjadi hak milik mereka.
Sementara itu, anak sulung tinggal bersama keluarga sendiri dan turut menjaga adik ipar OKU di PPR dua bilik manakala anak keduanya tinggal bersama ibu mertua di rumah flat.
Rosnah menambah, anak sulung sering mengajak tinggal bersama namun dia enggan menambah beban anaknya selain pada masa lebih selesa tinggal di rumah sendiri.
“Bukan makcik tidak mahu tinggal sekali tetapi anak-anak lain sudah ada keluarga masing dan mereka pun tinggal di rumah yang mempunyai dua bilik sahaja.
“Namun anak yang sulung tetap akan datang pada setiap malam untuk mengangkat dan membawa Nabil ke bilik air untuk dimandikan kerana makcik sudah tidak larat lagi untuk membawanya seperti kebiasaaanya sebelum ini.
“Manakala anak kedua pula yang bekerja sebagai penghantar barang akan menolong makcik dan Nabil untuk dibawa ke hospital sekiranya terdapat janji temu susulan rawatan,” katanya yang mengakui terdapat barangan di rumah seperti sofa disumbangkan oleh majikan anak sulungnya.
Mengulas lanjut, Rosnah mengakui dia tetap bersyukur dengan ujian yang menimpa dirinya kerana masih ramai lagi yang diuji Allah SWT dengan ujian lebih besar.
Katanya, sekurang-kurangnya dia masih ada rumah berteduh dan pencen suami biarpun kini tidak mampu mengangkat Nabil lagi untuk ke bilik air sejak disahkan mengidap kanser.
“Tetapi macik bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menyuap dia makan cuma makcik kena kuat demi Nabil.
“Ujian memang datang satu per satu tetapi hendak sedapkan hati makcik reda. Makcik anggap Allah SWT sayang makcik lebih.
“Dia hanya beri ujian pada mereka yang mampu sahaja sebab bila fikir-fikir ada orang lebih susah daripada kami. Itulah kekuatan makcik dan makcik selalu bercakap dengan Nabil, ada orang lagi susah daripada kita,” katanya yang memanggil Nabil dengan panggilan adik.
Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Rosnah dan keluarga, boleh menghubungi talian 011-10028921 (Rosnah).
Sumbangan pula boleh disalurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (Akaun Bersama Rosnah dan Nabil Najmil) – 1011441100002557. – MalaysiaGazette
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF12022025_TEMU-BUAL-IBU-TUNGGAL-8.jpg)