Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 pertan metrik berkuat kuasa Ahad ini, 16 Februari.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan juga membuat keputusan untuk mengekalkan harga mekanisme beras putih tempatan pada kadar RM2.60 perkilogram.

Bagi menjayakan inisiatif itu, jelas beliau, kerajaan akan memperuntukkan kira-kira RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tenpoh enam bulan pertama tahun ini.

Sepanjang tempoh itu juga, tambahnya, sebanyak 24 juta kampit 10 kilogram (kg) beras putih yang berharga RM26 akan berada di pasaran.

“Pengumuman ini diharap dapat menjadi solusi menang-menang kepada pesawah, pengilang dan pengguna.

“Kerajaan apabila membuat sesuatu keputusan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak, yang paling utama tentulah penanam padi, yang kedua para pengguna dan ketiga termasuk para pengilang, pemborong, peruncit dan sebagainya.

“Jadi kita harap semua pihak dapat menikmati (manfaat) daripada pengumuman ini,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Pada 27 Januari lalu, kira-kira 200 pesawah dari seluruh negara berkumpul di hadapan ibu pejabat KPKM di Putrajaya, bagi mendesak kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 ketika ini kepada RM1,800.

Mereka turut menyatakan bantahan terhadap Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang didakwa dirangka tanpa melalui rundingan dengan petani.

Sementara itu, ditanya berkenaan harga RM1,500 yang lebih rendah berbanding tuntutan pesawah iaitu RM1,800, Mohamad berkata, harga lantai belian padi baharu itu mengambil kira kesan terhadap kenaikan harga beras kelak.

“Kalau naikkan harga padi sebegitu rupa (RM1,800) bagaimana dengan kedudukan harga beras?

“Dengan harga sekarang pun untuk keluarkan beras padi harga RM2.60 perkilogram kerajaan perlu campur tangan dengan beri subsidi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengambil contoh bagaimana beberapa buah kilang termasuk di Arau, Perlis yang terpaksa ditutup kerana tidak dapat mengeluarkan beras pada harga RM2.60 sekilogram seperti ditetapkan disebabkan harga lantai belian padi yang tinggi.

Sementara itu, dalam pemberitahuan ketika sidang Dewan Rakyat, Mohamad menjelaskan, penetapan harga lantai baharu belian pada RM1,500 mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian (baja, racun dan lain-lain) dan impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya kesan kepada harga beras di pasaran.

“Sukacita saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak KPKM pada masa ini sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membolehkan penyedia perkhidmatan di dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani,” katanya.

Berhubung keputusan mengekalkan harga beras putih tempatan pula, Mohamad berkata, KPKM sedang memperincikan kaedah pelaksanaannya dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here