PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memainkan peranan utama dalam prapendaftaran MyDigital ID, menurut Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan keputusan ini dibuat selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Untuk mempercepatkan proses pendaftaran, mesyuarat semalam mencadangkan agar JPN diberi peranan sebagai agensi utama dalam pra-pendaftaran MyDigital ID. Ini kerana JPN merupakan pemegang data rakyat yang paling sah dan lengkap.
“Dengan langkah ini, setiap rakyat Malaysia yang mencapai umur 12 tahun secara automatik akan didaftarkan untuk MyDigital ID semasa mereka mendapatkan MyKad,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), petang tadi.
Mesyuarat tersebut tambah Saifuddin Nasution membincangkan usaha untuk meningkatkan pendaftaran MyDigital ID yang dilancarkan tahun lalu bagi memastikan identiti rakyat lebih terpelihara dan selamat dalam urusan dengan kerajaan serta sektor swasta, terutama dalam menghadapi ancaman siber.
Namun jelas Saifuddin Nasution, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui, termasuk verifikasi dan kawal selia identiti.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias untuk meneliti semua aspek proses kerja serta keperluan undang-undang.
“Dari sudut pendaftaran, kita sudah ada akta yang berkaitan, tetapi pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara akan dibuat bagi membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID diperakui.
“Tujuan utama langkah ini adalah untuk meningkatkan kadar pendaftaran MyDigital ID dan memudahkan urusan rakyat dengan aplikasi kerajaan pada masa hadapan,” katanya lagi.
Anwar sebelum ini telah meminta agar pelaksanaan MyDigital ID dipercepat memandangkan beliau tidak berpuas hati tentang pencapaian dan prestasi pelaksanaan MyDigital ID yang telah dibentang pada MED4IR yang terakhir.
Beliau berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi. – MalaysiaGazette