Sebuah kereta mewah tidak berkastam jenis Mercedes-Benz SLK350 AMG bernilai RM90,000 dan melibatkan duti dan cukai RM154,530 disita kerana dipercayai berada di sebuah taman perumahan di Sepang.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTAKL) menyita sebuah kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura bernilai RM90,000 kerana dipercayai berada di sebuah taman perumahan di sini, bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, Mercedes-Benz SLK350 AMG adalah kenderaan yang tidak berkastam melibatkan duti dan cukai sebanyak RM154,530.

“Sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan KLIA telah membuat sitaan sebuah kenderaan mewah di taman perumahan dalam daerah Sepang, Selangor pada 2 Januari 2025.

“Kenderaan tersebut disenaraikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 4, Jadual II, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 di mana pengimportannya hanya dibenarkan dengan syarat memiliki permit import,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlela berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya susulan sitaan kenderaan mewah itu, setakat ini.

“Sindiket menggunakan modus operandi dengan mengimport dan menyimpan kenderaan tak berkastam di kawasan perumahan yang ditinggalkan kosong,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.

“Atau hukuman denda tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, JKDM juga merampas minuman keras berjumlah 85.59 liter bernilai RM775 serta melibatkan duti dan cukai sebanyak RM1,446 dari sebuah premis beralamat di Cyberjaya, 9 Januari lalu.

“Minuman keras pelbagai jenama didapati belum bayar cukai (berlabel Malaysia Duty Not Paid (MDNP) hanya untuk edaran di kawasan-kawasan Zon Bebas Cukai sahaja dan tidak boleh berada di Kawasan Utama Kastam (KUK),” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut menahan seorang warga tempatan bersama barang rampasan dan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) untuk siasatan lanjut.

“Modus operasi yang digunakan dengan menjual minuman keras berstatus MDNP secara terbuka di premis dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar.

“Hukuman denda juga boleh dikenakan tidak lebih dari 20 kali jumlah duti kastam itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak melebihi dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here