KUALA LUMPUR – Dua bekas Perdana Menteri melahirkan keresahan dan kebimbangan berhubung tekanan kos sara hidup yang terus meningkat yang terpaksa dihadapi rakyat kebanyakan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, ketika ini, rakyat berdepan dengan kenaikan pelbagai harga barangan termasuk kos pendidikan dan peruabatan yang terus meningkat.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan ke mana hilangnya penjimatan sumber kerajaan berjumlah RM4 bilion susulan penamatan subsidi diesel yang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan beban rakyat.
“Saya tidak nampak ada kesungguhan daripada pijak kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nampaknya lebih ghairah untuk berjalan ke seantero dunia daripada menyelesaikan masalah rakyat, pergi balik pergi balik…masalah beras tempatan pun sampai sekarang tidak dapat diselesaikan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Muhyiddin, beban kos kenaikan sara hidup rakyat bakal lebih dirasai dengan hasrat kerajaan melaksanakan pelarasan petrol RON95 dan kenaikan tarif asas elektrik yang dijangka pada pertengahan tahun ini.
Jelasnya, meskipun kerajaan menyatakan kenaikan tarif elektrik hanya dikenakan kepada 15 peratus kumpulan iaitu pihak industri dan sebahagian golongan mahakaya, namun tidak ada jaminan 85 peratus isi rumah lain tidak akan menanggung kesan kenaikan tersebut.
“Ini kerana jika kos operasi syarikat meningkat akibat kenaikan tarif elektrik, mereka tentunya akan memindahkan kos kepada pengguna akhir iaitu rakyat yang akan menanggung beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Biasanya perkara ini sebelum diputuskan ia akan dibawa kepada pihak Kabinet, bukannya TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang akan putuskan.
“Maka saya cadangkan Kabinet menolak permohonan TNB untuk menaikkan tarif elektrik yang mahu dicadangkan itu,” katanya.
Turut senada dengan Muhyiddin ialah seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak bersetuju dengan dakwaan 85 peratus golongan isi rumah tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik.
Kata Ismail Sabri (BN-Bera), seperti apa yang berlaku menerusi pelarasan subsidi diesel sebelum ini, pengusaha telah memindahkan kos mereka kepada pengguna yang berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika ini.
“Tarif elektrik naik secara langsung nampak seperti tidak ada kesan apa-apa kepada pengguna, tetapi kesan tidak langsung memang jelas bahawa kos barangan akan meningkat.
“Sekarang pun rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barang semakin mahal dan dengan kenaikan tarif elektrik ini harga barang akan bertambah,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan dalam keghairahan menempa nama dan menarik pelaburan bernilai tinggi di persada antarabangsa, kerajaan juga perlu menumpukan permasalahan kos sara hidup dalam negara yang masih belum selesai.
Ujarnya, selain kuasa beli rakyat yang semakin menurun, kini timbul juga kebimbangan berkenaan nilai ringgit yang terus merudum berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Ini menimbulkan persoalan berkenaan jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke dalam negara khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke luar negara.
“Berapa nilai pelaburan sebenar yang pernah direalisasikan sejak Kerajaan Madani dibentuk pada November 2022?” soalnya. – MalaysiaGazette