SERDANG – Seorang wanita warganegara asing dan pasangannya ditahan polis di Hospital Sultan Idris Shah di sini selepas laporan perubatan mendapati kedua-duanya tidak mengalami masalah mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Superitenden Albany Hamzah berkata, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD KLIA menahan pasangan tersebut, kira-kira jam 7.30 malam.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 294(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan akan segera dilengkapkan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Albany berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima Balai Polis KLIA2 daripada petugas keselamatan Air Asia berkaitan satu kekecohan di pesawat yang hendak berlepas ke Jieyang Chaoshan, China, kira-kira jam 1.20 tengah hari, 9 Februari lalu.
“Seorang penumpang wanita warganegara asing telah berkelakuan seperti kurang siuman sehingga mengganggu penumpang lain.
“Akhirnya wanita itu bersama pasangan lelakinya telah dikeluarkan dari pesawat tersebut oleh petugas keselamatan,” katanya.
Menurut Albany, pasangan tersebut kemudiannya dibawa ke Balai Polis KLIA 2 dan semasa pertanyaan dibuat, mereka gagal memberikan kerjasama dan kedua mereka berkelakuan seperti tidak siuman serta bertindak agresif.
“Pihak polis telah mendapatkan bantuan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan setelah pemeriksaan, mereka berdua diberikan ubat penenang.
“Selanjutnya pihak polis telah membawa pasangan tersebut ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi menjalani pemeriksaan kerana dipercayai kurang siuman dan mereka telah ditahan di wad hospital,” katanya.
Katanya lagi, semasa pasangan itu ditahan wad, pihak polis tidak membuat tangkapan, sebaliknya hanya menjalankan pertanyaan awal.
“Apabila didapati berkelakuan seperti tidak siuman, mereka telah memberikan bantuan dengan menghantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan perlu pada 9 Februari.
“Pemeriksaan urin oleh pihak hospital mendapati kedua-dua mereka bebas daripada pengaruh dadah dan mereka telah ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette