KUALA LUMPUR – Cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam di peringkat Persekutuan adalah sesuatu yang mengarut.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, cadangan Yu Hui agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua boleh dianggap sebagai usaha menjejaskan keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini.
“Cadangan ini disifatkan sebagai dangkal, tidak berpaksikan kepada realiti Perlembagaan Persekutuan dan berpotensi menjejaskan keharmonian yang telah lama terjalin antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
“Tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan khas bagi hal ehwal bukan Islam di peringkat Persekutuan kerana urusan berkaitan agama-agama lain telah pun ditangani dengan baik melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pelbagai agensi lain yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Hafez berkata, cadangan ini tidak mengambil kira realiti keharmonian masyarakat Malaysia yang telah lama hidup dalam suasana saling hormat-menghormati tanpa keperluan kepada struktur pentadbiran tambahan yang bersifat memecahbelahkan.
“Malaysia telah lama mengamalkan pendekatan integrasi melalui perpaduan, semua agama dan kaum diraikan dalam kerangka sedia ada yang inklusif dan menyeluruh.
“Penubuhan jabatan sebegini di peringkat Persekutuan berisiko menimbulkan salah faham dan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, selain boleh membuka ruang kepada manipulasi politik yang tidak sihat,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, Pemuda Pas menyeru Yu Hui agar lebih menumpukan perhatian kepada isu-isu rakyat yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, dan pembangunan ekonomi, daripada mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Pemuda Pas Malaysia menggesa semua pihak, terutamanya ahli politik, untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap cadangan yang dikemukakan agar tidak mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan negara.
“Malaysia telah lama menikmati keamanan melalui pendekatan yang sedia ada, dan tiada keperluan untuk mencipta struktur yang berisiko menimbulkan perpecahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette