PUTRAJAYA – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan menambahbaik keterangannya pada perbicaraan penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Fikri Ab Rahim sebaliknya memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, keterangannya adalah tambahan kepada apa yang pernah diberikannya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi bekas Perdana Menteri.
Fikri juga adalah saksi pembelaan ke-12 dalam kes penyelewengan dana SRC.
Beliau yang ketika itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM berkata, keterangan yang ditambah itu adalah berkaitan empat surat derma RM2.3 bilion daripada kerabat diraja Arab Saudi kepada Najib.
Ujar saksi pembelaan kelapan (DW8), beliau ke Riyadh bersama beberapa pegawai termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Fikri, mereka ke Istana Riyadh antara 27 hingga 29 November 2015 untuk mengesahkan ketulenan empat surat derma daripada Arab Saudi dan menemuramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud, iaitu individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab kepada Najib.
Bagaimanapun, saksi berkata, beliau tidak menerima arahan lanjut untuk menyiasat sama ada keempat-empat surat itu dipalsukan.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Fikri bersetuju dengan cadangan bahawa keterangannya lima tahun lalu dan hari ini secara asasnya adalah sama.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju terdapat penambahbaikan terhadap keterangan itu dan menjelaskan beliau menganggap ia adalah sama, tetapi lebih terperinci.
Ahmad Akram kemudian mencadangkan, penambahbaikan itu dibuat Fikri kerana kes SRC sudah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyatakan keterangan saksi itu adalah tidak mencukupi.
Sehubungan itu, Ahmad Akram berkata, Fikri menambah keterangannya pada perbicaraan kes (1MDB) untuk menutupi (kekurangan) dalam keterangannya pada prosiding SRC.
“Saya setuju ada tambahan, tetapi sama ada ia tambahan baik atau tidak, saya tidak tahu,” katanya.
Mohd Nazlan ketika mensabitkan Najib dalam kes SRC, berkata keterangan Fikri tidak mencukupi untuk mendapati kandungan kenyataan yang direkodkan dan ditandatangani oleh Mohammad Abdullah Al-Koman (wakil putera Arab Saudi) adalah kenyataan
Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud.
Menjawab soalan Akram, Fikri bersetuju, pasport boleh direka dan jika ia dipalsukan, beliau tidak akan mengetahuinya jika ditunjukkan.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini. – MalaysiaGazette.