Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – “Pembangkang suka buat persepsi supaya orang kelam-kabut dan tak boleh fokus pada kerja,” kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditanya mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan tahun ini.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan, kerajaan tidak akan terpengaruh dengan ‘modal’ tersebut, sebaliknya akan terus menjadikan pentadbiran negara dan membela rakyat sebagai fokus utama.

“Mana yang termakan persepsi, itulah yang akan terpengaruh. Tapi kami terus buat kerja, fokus untuk rakyat.

“Mereka tiada modal, tiba-tiba teringat hendak cakap pilihan raya esok lusa, dia cakaplah. Lepas itu, esok cakap benda lain pula.

“Dia cari je benda, itu kerja dia, dan bukan sesuatu yang pelik, wartawan pun jangan pelik pula,” katanya.

Tambah Menteri Besar Pahang itu, kerajaan akan memastikan agenda pembangunan negara akan terus berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat sekali gus tidak akan ‘goyang’ dengan spekulasi politik oleh pihak pembangkang,

“Kami tidak akan terganggu dengan politik persepsi yang cuba dimainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat FELDA Pahang Tahun 2025 di Auditorium RTM Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu katanya persepsi negatif yang ditabur oleh pembangkang telah memberi kesan terhadap keputusan pengundi Felda pada PRU-15 yang lalu terdapat peralihan sokongan yang menyaksikan beberapa kawasan Felda gagal dipertahankan.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis untuk meraih semula kepercayaan dan undi warga peneroka yang mulai sedar apa yang telah dilakukan oleh kerajaan kepada masyarakat Felda.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang mempersiapkan jentera mereka bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut hujung tahun ini.

Difahamkan arahan untuk mempersiapkan jentera parti itu telah dikeluarkan oleh Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis pertemuan dan dialog dengan Badan Pimpinan Negeri (BPN) parti itu, Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here