KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi berkaitan angkasa akan dapat diwujudkan  menjelang tahun 2030 menerusi penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, penguatkuasaan penuh akta yang bermula 1 Januari lalu juga akan menarik lebih ramai pelabur berkaitan sektor berkenaan.

“Kami (MOSTI) yakin dapat capai target itu sebab dengan adanya akta ini, kita dapat menarik minat pelabur masuk. Sebelum ini keadaan seperti ketidaktentuan kerana akta ini tidak ada.

“Pekerjaan sektor ini juga adalah bernilai dan berkemahiran tinggi, bukan gaji rendah. Jadi kami harap dengan adanya penguatkuasaan akta ini kita akan melicinkan lagi proses tersebut (peluang pekerjaan berteknologi tinggi baharu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Parlimen mengenai penguatkuasaan Akta 834.

Ujarnya, MOSTI kini sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dijadikan pertimbangan bagi memantapkan lagi tadbir urus sektor angkasa, merangsang aktviti ekonomi baharu dan memperkukuhkan modal insan melalui pelaburan teknologi bidang berkenaan pada masa depan.

Terdahulu Chang berkata, akta berkenaan diwartakan sejak tahun 2022 namun bermula pada tahun ini.

Jelas beliau, penguatkuasaannya akan melancarkan lagi ekosistem angkasa dalam negara yang mengandungi perundangan berkaitannya.

“Dengan adanya akta ini semua aktiviti angkasa boleh kita boleh regulate (kawal selia). Contohnya, siapa nak lancar roket boleh mohon lesen daripada MOSTI sebab sudah ada perundangan berkaitannya.

“Begitu juga apabila ada apa-apa objek angkasa yang mungkin terjatuh dalam negara, kita (sudah) ada perundangannya yang berkaitan untuk kawal selia,” tambah beliau.

Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan negara bakal memiliki penderiaan jauh angkasa buatan Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi.

MOSTI kini sedang berbincang dengan pihak swasta dan kerajaan negeri yang berminat untuk mewujudkan tapak kenderaan angkasa, ujarnya.

“Kajian fizikal sedang dilakukan dengan adanya beberapa projek sedang berjalan kita akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan dan kemajuan sektor ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here