KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk terus memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid di sekolah selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan yang turut menekankan pemerkasaan Bahasa Melayu serta pengukuhan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.
Menurutnya, bagi mempercepatkan inisiatif ini, KPM sedang meneliti beberapa penambahbaikan segera termasuk penyusunan semula pusat tanggungjawab berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan.
Sehubungan itu, peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) akan diperluaskan bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid di seluruh negara.
“KPM percaya bahawa pengukuhan Bahasa Inggeris amat penting untuk masa depan pendidikan negara. Oleh itu, dengan penstrukturan semula ELTC yang lebih strategik, kita menjangkakan peningkatan ketara dalam latihan dan pengajaran guru, sekali gus memberi impak positif kepada pembelajaran murid,” katanya dalam kenyataan.
Fadhlina menjelaskan bahawa usaha memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris tertumpu kepada empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Program tersebut merangkumi Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian, dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).
Jelasnya, selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelantar pembelajaran digital DELIMA turut diterapkan bagi meningkatkan kecekapan murid dalam Bahasa Inggeris.
“KPM amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu pendidikan dan akan terus berusaha memastikan sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang lebih baik demi manfaat generasi akan datang,” tambahnya.-MalaysiaGazette