Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk melaksanakan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau multi lane fast flow (MLFF) agak sukar.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,  perbincangan mengenainya masih diteruskan dan kertas Kabinet mengenai perbincangan pelaksanaan sistem itu akan dibentangkan tidak lama lagi.

Menurut beliau, sistem kaedah bayaran tol itu secara tunggal di semua lebuh raya itu dilihat sukar kerana melibatkan banyak konsesi.

“Mengenai usaha PLUS mewujudkan MLFF atas nama mereka sendiri, perbincangan terus dilaksanakan mulai April (tahun lalu). Apa juga yang akan melibatkan kos (dan sebagainya) masih dalam perbincangan.

“Pelaksanaan MLFF tunggal, agak sukar untuk dilaksanakan kerana konsesi lebuh raya ini ada 33, lebih kurang 2,000 kilometer iaitu separuh daripadanya oleh PLUS. Kertas Kabinet akan dibentang tidak lama lagi untuk mendapatkan pandangan seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali (Perikatan Nasional) sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menyeragamkan sistem kutipan tol di semua lebuh raya menggunakan MLFF.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan halangan utama pelaksanaan sistem MLFF adalah kesukaran memuktamadkan struktur tadbir urusnya.

Ini kerana, kira-kira 13 daripada keseluruhan syarikat konsesi lebuh raya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem itu.

Sementara itu, Ahmad memaklumkan syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd dilantik untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Jelasnya, syarikat yang dilantik sejak September tahun lalu itu dipertanggungjawabkan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan selama tiga tahun melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM69 juta.

“(Ini untuk) kerja-kerja rutin, berkala pavemen dan kerja bukan berkala pavemen dan jalan berlubang hendaklah ditampal kurang daripada 24 jam, selaras dengan dasar sifar lubang yang dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan termasuklah lebuhraya tanpa tol di Sarawak,” jelasnyayang menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau anak Gingkoi (GPS) yang meminta KKR menyatakan perancangan penyelenggaraan lebuh raya tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here