Dua pegawai kanan sebuah persatuan sukan di Johor direman disyaki salah guna kedudukan arah sebahagian daripada RM1.3 juta yang diterima dari KBS dan pihak swasta dipindahkan ke akaun miliknya dan anaknya.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai kanan sebuah Persatuan Sukan di Johor direman disyaki terlibat salah guna kuasa membabitkan sumbangan dana kira-kira RM1.3 juta dan mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM27,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 17 Februari ini terhadap kedua-dua suspek tdikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar selepas permohonan dibuat Suruanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Johor.

“Suspek pertama yang juga merupakan Presiden persatuan sukan tersebut dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2025.

“Suspek disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Setiausaha Kehormat memindahkan sebahagian daripada sumbangan berjumlah kira-kira RM1.3 juta yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan dan pihak swasta bagi tujuan aktiviti persatuan daripada akaun persatuan ke akaun miliknya dan anaknya.

“Suspek kedua, bekas Setiausaha Kehormat pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2024 dengan mengemukakan dokumen permohonan yang mengandungi butir matan palsu berkaitan bayaran latihan berjumlah kira-kira RM15,000 dan bayaran subsidi peralatan sukan berjumlah kira-kira RM12,000 kepada Majlis Sukan Negeri sedangkan program dan pembekalan tidak dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast