SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengadakan Solat Hajat Khas di Masjid UiTM Shah Alam bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan segera Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang juga Canselor UiTM.
Majlis yang dianjurkan sebagai keprihatinan warga UiTM terhadap Tuanku Canselor yang kini sedang menjalani rawatan di luar negara disertai oleh pengurusan tertinggi staf akademik, staf pentadbiran, mahasiswa, serta warga kampus.
Solat Hajat ini berlangsung dalam tiga sesi utama iaitu pada 12 hingga 14 Februari 2025.
UiTM mengajak seluruh warga kampus dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa agar baginda dikurniakan kesembuhan segera dan kesejahteraan berpanjangan.
Menurut kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong telah berangkat ke luar negara bagi mendapatkan rawatan perubatan, ditemani oleh Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Seluruh warga UiTM menzahirkan doa agar Sultan Ibrahim dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan rawatan, dan sentiasa
dalam lindungan Allah SWT. – MalaysiaGazette