Mustapha meninjau operasi harian di Fidlot Lembu Pedaging, FPL.

SANDAKAN – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberi penekanan kepada inovasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMS mempunyai sumber kepakaran yang boleh
dimanfaatkan untuk membantu komuniti setempat.

“Usaha ini adalah sejajar dengan langkah pemerkasaan komuniti yang merupakan antara tujuh fokus utama yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada
tahun ini.

“Kerjasama strategik antara UMS dan syarikat tempatan, Maha Sawit dalam model penanaman halia misalnya dilihat mampu memberi pendapatan tambahan kepada
pelajar-pelajar B40 yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan sulung beliau ke Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan baru-baru ini.

Mustapha menambah, model tersebut sekiranya dilaksanakan mampu membantu pelajar-pelajar dan staf untuk menambah pendapatan mereka.

Terdahulu, Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad ketika menyampaikan taklimat sempena kunjungan tersebut merakamkan penghargaan kepada Mustapha serta
rombongan KPT atas keprihatinan dalam memastikan isu pembangunan dewan kuliah pusat baharu di fakulti tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, bangunan dewan kuliah pusat yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada lebih 500 pelajar semasa di samping tambahan pelajar melalui penawaran dua lagi program baharu pada tahun ini iaitu Program Perladangan Kepersisan Pintar dan Program Agro Pelancongan Lestari.

Program lawatan Mustapha bersama rombongan antara lain adalah bertujuan untuk mendapat maklumat awal berhubung isu pembangunan dewan kuliah pusat,
meninjau fasiliti kampus di samping menyantuni warga FPL.

Pada sesi lawatan tersebut beliau turut berkesempatan menyempurnakan tanaman anak pokok mangga Chukanan dan kemudian dibawa melihat sendiri operasi harian
di Fidlot Lembu Pedaging, FPL.

Mustapha mengakhiri kunjungan dengan sesi beramah mesra dengan pelajar dan bergambar kenangan di lokasi menarik sekitar kampus FPL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here