PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi menyegerakan tindakan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha itu disusuli dengan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) itu dapat dibentang di Dewan Rakyat.
“Arahannya kepada KDN adalah sidang tahun ini. Jadi saya kena buat memorandum Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian bantu terus untuk dapatkan keputusan dasar Jemaah Menteri bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman.
“Bila Jemaah Menteri dah setuju kami akan buat libat urus dengan semua stakeholder termasuk aktivis himpunan aman, Ahli Parlimen, kemudian kita akan olah metrik pindaan dan kita akan dibentang di Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), petang tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan mana-mana pihak atau kumpulan untuk mengadakan perhimpunan aman.
Langkah itu, jelas Anwar bagi membolehkan pihak berkuasa mengadakan persediaan khususnya dari segi kawalan lalu-lintas dan keselamatan sepanjang perhimpunan aman itu berlangsung.
Saifuddin Nasution turut menjelaskan lebih 10,000 permohonan untuk mengadakan himpunan aman pada 2023 dan 7,000 pada tahun lalu membuktikan kerajaan tidak menyekat rakyat untuk mengadakan mana-mana himpunan.
Daripada kedua-dua jumlah itu, 98 peratus daripada himpunan pada 2023 berlangsung tanpa sekatan manakala 99 peratus dibenarkan pada tahun lalu.
“Hanya 1 hingga 2 peratus perhimpunan menghadapi isu kerana lokasi yang tidak mendapat kebenaran pemilik premis, bukan kerana tindakan menyekat oleh kerajaan.
“Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman bagi mengatasi isu lokasi ini.
“Sementara menunggu pindaan dibuat, kerajaan akan melaksanakan moratorium terhadap penguatkuasaan Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman, yang bermaksud tiada tindakan akan diambil terhadap penganjur perhimpunan sehingga pindaan diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menjelaskan sepanjang tahun lalu, 1,787 kertas siasatantelah dibuka berkaitan perhimpunan awam.
“Hanya 30 kes didakwa di mahkamah, menunjukkan bahawa kerajaan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun,” katanya lagi.
Dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan meneruskan projek pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) biarpun kontrak asal dengan syarikat kontraktornya sudah ditamatkan hujung tahun lalu.
Malah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah ditugaskan untuk meneliti usaha meneruskan projek berkenaan termasuk mencari kontraktor baharu.
“Seperti yang diketahui, APMM hanya menerima satu daripada tiga OPV iaitu KM Tun Fatimah yang sudah bertugas di menjaga perairan negara.
“Namun dua lagi (OPV) masih belum kesampaian dan akhirnya keputusan Kabinet supaya dilakukan penamatan dengan persetujuan bersama termasuk dengan implikasi bayaran (denda yang dikenakan kepada pihak syarikat).
“(Bagi APMM bagaimanapun,) mereka (tetap) berharap bahawa OPV ini dapat disiapkan dan saya menetapkan hala tuju bahawa ia mesti diteruskan, (seterusnya) itu tugas KSU,” katanya dalam sidang media sama.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menamatkan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd (TDSB) selepas ia gagal menyiapkan pembinaan dua lagi kapal berkenaan.
Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat minggu lalu, Saifuddin berkata, penamatan kontrak itu ditandatangani pada 31 Disember 2024 dan syarikat berkenaan dikenakan Kadar Denda Dan Gantirugi Ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta di atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV 3.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini sudah membelanjakan lebih RM600 juta untuk projek pembinaan tiga OPV berkenaan, namun syarikat terbabit hanya mampu menyiapkan sebuah kapal. – MalaysiaGazette