Seorang warga emas maut dalam kemalangan tiga kenderaan di kilometer 10 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas maut terseret selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan tiga kenderaan di kilometer 10 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 3.15 petang itu melibatkan motosikal Honda ditunggang mangsa dengan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan lori Isuzu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda itu yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun telah brek secara mengejut, menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal gagal mengelak lalu, merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh di lorong kiri, lalu tersangkut pada besi di bahagian tepi sebuah lori dan terseret,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, warga emas berumur 72 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badan.

Kes berkenaan katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa berjaga-jaga dan serius dalam pemanduan. Patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, sebarang maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here