GEORGE TOWN – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang menyuarakan bantahan terhadap cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk menambah jawatan Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah negeri, Abrar Sadiq berkata, cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen DAP itu bertentangan dengan sistem pentadbiran negara dan boleh mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.
“Negara telah memiliki struktur yang mencukupi bagi menjaga kepentingan agama bukan Islam. Malah, Kementerian Perpaduan sudah memainkan peranan untuk memastikan keharmonian dan kebebasan beragama.
“Penubuhan jawatan baru ini tidak wajar kerana ia hanya akan menambah beban kewangan kepada kerajaan.
“Cukup-cukuplah memberi ruang kepada PAS untuk menjadikan cadangan seperti ini sebagai modal perkauman mereka” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abrar yang juga Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas menegaskan bahawa tumpuan negara harus diberikan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya mencetuskan isu yang boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat.
Beliau juga menyeru agar semua pihak, terutama pemimpin politik, lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan yang tidak menimbulkan perpecahan.
“Fokus utama kita seharusnya adalah untuk membina negara bersama-sama, bukan untuk memperbesarkan jurang perbezaan yang boleh dieksploitasi untuk kepentingan politik,” katanya.
Media pada Rabu, Yu Hui mengusulkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, masing-masing untuk Islam dan bukan Islam, bagi memperkukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Usul tersebut juga mencadangkan penubuhan Exco yang khusus untuk menjaga hal ehwal masyarakat bukan Islam di beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak. – MalaysiaGazette