PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju untuk mengkaji dan menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, arahan untuk menyemak semula akta tersebut adalah susulan pengumuman pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), semalam.
“Semalam, Perdana Menteri menyatakan mengenai Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dengan beberapa perkara dipermudahkan dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, SOSMA juga akan diteliti dan disemak.
“Insya Allah, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) akan memberi kenyataan Parlimen mengenai perkara ini.
“Tetapi secara prinsipnya, beberapa perkara sudah dibincangkan dan dipersetujui untuk menyemak semula serta menambah baik akta SOSMA,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.
Ditanya mengenai sebab kerajaan ingin menyemak semula akta tersebut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, langkah berkenaan adalah susulan daripada beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini.
Selain itu katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk terus meneliti sebarang undang-undang yang perlu ditambah baik.
“Sudah pasti ia berkaitan dengan apa yang berlaku baru-baru ini dan pada masa sama kerajaan sememangnya sedang meneliti undang-undang yang perlu atau boleh ditambah baik dan usaha itu akan dilakukan,” katanya lagi.
Semalam, Anwar mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan serta-merta siasatan terhadap mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu.
Menurut Perdana Menteri, tindakan sama juga diambil terhadap himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berlangsung di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette