KUALA LUMPUR – Perubahan iklim bukan sekadar ancaman kepada alam sekitar tetapi juga mencetuskan krisis kesihatan global yang semakin meruncing pada masa kini.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator RA Dr Lingeshwaran, impak perubahan iklim seperti peningkatan suhu dunia, pencemaran udara dan bencana alam memberi kesan langsung kepada kesihatan awam serta ekonomi serantau.
Kata beliau, perubahan iklim tidak mengenal sempadan sebaliknya ia memberi kesan kepada semua aspek kehidupan, termasuk kesihatan awam.
“Kita melihat peningkatan kes jerebu, banjir dan penularan penyakit seperti denggi dan leptospirosis, yang semakin memberi tekanan kepada sistem kesihatan di seluruh ASEAN.
“Sebagai belia pada generasi kini dan masa depan, anda bukan sekadar pewaris masalah ini tetapi juga pemimpin yang akan membawa penyelesaian dan tidak boleh sesekali ambil mudah,” katanya.
Lingeshwaran berkata demikian dalam laman sosial Facebook selepas memberi ucaptama di ASEAN Youth Forum on Sustainability di sini yang menghimpunkan lebih 200 pemimpin muda dari seluruh Asia.
Dalam pada itu, mantan Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang itu berkata, forum yang sama menekankan kepentingan hospital hijau dan kemudahan kesihatan mesra alam sebagai langkah kritikal dalam mengurangkan pelepasan karbon sektor kesihatan yang kini menyumbang hampir lima peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau global.
“Malaysia telah berada di landasan yang tepat apabila 62 daripada 148 hospital kerajaan telah menerima pensijilan bangunan hijau setakat Oktober 2024.
“Dalam usaha ke arah masa depan yang lebih lestari, Carbon Neutral Healthcare Facilities Blueprint telah diperkenalkan dengan matlamat untuk menjadikan hospital di Malaysia bebas karbon menjelang 2045,” ujarnya.
Sambungnya, langkah itu penting bukan sahaja untuk melindungi alam sekitar, tetapi juga bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan mampan kepada rakyat.
Selain sektor kesihatan, forum itu turut membincangkan peranan belia dalam memperkukuhkan dasar alam sekitar yang lebih ketat, mempromosikan advokasi hijau serta membangunkan inovasi teknologi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Kelestarian bukan sekadar pilihan, ia adalah tanggungjawab kita. Masa untuk bertindak adalah sekarang. Generasi muda perlu mengambil inisiatif dalam menerajui perubahan ke arah ekonomi hijau dan masyarakat yang lebih mampan,” ujarnya. -MalaysiaGazette