PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Bagaimanapun jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil menegaskan, Kabinet mendapati perkara tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat DAP dan bukan pendirian daripada parti berkenaan.
“Berkaitan cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Raub (Chow Yu Hui) mengenai Menteri Hal Ehwal Agama dipecahkan seperti yang dilaporkan media, perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan hal ini tidak pernah berbangkit malah tidak dibincangkan (oleh) parti beliau sendiri ketua parti sendiri mengatakan itu bukan pendirian parti.
“Tetapi (hanya) pendirian peribadi beliau sendiri sebagai ahli Parlimen bukan pendirian parti dan Kabinet tidak pernah membincangkan (sebelum ini),” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Yu Hui untuk mewujudkan portfolio Menteri bagi bukan Islam.
Anwar berkata, cadangan itu tidak diterima Jemaah Menteri dan melihatnya sebagai pandangan peribadi seorang ahli Parlimen semata-mata.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tidak ada keperluan untuk Kabinet untuk membincangkan secara lanjut mengenai cadangan tersebut.
“Kabinet tidak pernah membincangkan malah pada waktu ini Menteri Perpaduan adam mekanisme jawatankuasa harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama untuk bincangkan berkiatan perpaduan,” katanya lagi.
Yu Hui semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat menyarankan kementerian itu dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Katanya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco Hal Ehwal Bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat. – MalaysiaGazette